Thursday, 25 April 2013

Usaha ke arah menjadi da'ie yang optimis



“Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh atau solehah dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna nescaya tidak ada pendakwah, maka akan sedikitlah orang yang memberi peringatan.”
(Imam Hassan Al-Basri)



Setiap muslim wajib berdakwah.
Namun, dakwah itu harus dilaksanakan secara berhemah dan bijaksana. 
Jangan pula kita sibuk mengajak orang untuk melakukan kebaikan, namun kita sendiri hanyut melakukan keburukan. 
Orang kata, cerminlah diri sendiri sebelum ingin menasihati orang lain. 
Secara logiknya, kenyataan ini benar, namun setiap manusia tidak lepas daripada melakukan dosa dan kesalahan. 
Tiada insan yang memiliki akhlak sesempurna Rasulullah SAW kerana akhlak Rasulullah ialah al-Quran.

CONTOH SITUASI MELIBATKAN DA’IE YANG KURANG OPTIMIS

“ Ukhti, ana rasa terkilan sebab sahabat2 ana mendakwa ana ni berlagak alim. Ana tahu ana baru2 je join BADAR and IKRAM ni, cuma ana sedih sebab ana rasa tersisih. Sahabat ana macam tak percaya lihat ana pakai tudung labuh ni, pastu mula ajak solat berjemaah, suruh tutup aurat, jaga tingkah laku ketika berbicara, itu.. ini..”

“Awak, saya takut la saya hilang kawan dekat fb. Saya selalu post macam2 pasal hadis atau nasihat ustaz mcm UAI, tapi takde orang like pun. Kalau ada pun, boleh dikira yang like tu. Kalau dulu saya share pasal artis, pasal kisah cinta yang sweet2, kemain diorang like and komen macam2. Saya takut saya putus asa dengan dakwah ni, dakwah ni susah.”


Bagaimana ingin jadi da’ie yang optimis?

1)   Lengkapkan dan persiapkan diri dengan ilmu
Ilmu agama, ilmu dunia, kedua-duanya penting untuk meningkatkan kualiti diri. Rajinlah membaca buku bermanfaat, hadirkan diri ke majlis ilmu dengan kerap. 
Rajin juga bertanya kepada ustaz untuk meminta nasihat.

2)   Sering muhasabah diri, bukanlah menghukum diri
Jika dakwah kita ditolak, refleksi diri sendiri, betulkan apa yang silap.
Jangan pula berputus asa dan terus down apabila dikritik ataupun disindir.
Ingatkan jiwa dan kentalkan semangat bahawa kita sedang melaksanakan perintah Allah yang mulia.

3)   Berusaha untuk sentiasa mengamalkan akhlak mahmudah
Jangan sesekali marah ketika berdakwah.
Perbuatan itu hanya akan memudaratkan diri sendiri.
Ingat, jika kamu benar, jangan marah dan jika kamu salah, jangan sesekali marah juga. 
Bermanis muka dan senyumlah ketika menyampaikan dakwah dengan tutur kata yang sopan, ibarat seorang ibu menasihatkan anaknya dengan penuh kasih sayang.

4)   Bijak menyesuaikan dakwah dengan suasana
Selami jiwa insan yang ingin didakwah terlebih dahulu.
Boleh jadi insan tersebut memang jahil mengenai sesuatu perkara yang dia lakukan, tidak tahu langsung bahawa perbuatannya itu salah.
Faktor latar belakang famili, aktiviti sosial dan hobi perlu ambil tahu juga.
Contoh: Anda ingin berdakwah dengan remaja yang gemar akan muzik, maka suatu bonus jika anda mahir bermain alat muzik dan sebarkan dakwah melalui lagu untuk mereka.

5)    Sering berdoa memohon petunjuk dan bantuan Allah
Apabila niat di hati untuk berdakwah ikhlas semata-mata kerana Allah Taala, insya-Allah kita tidak akan berputus asa andai diuji dengan dugaan.
Sentiasa memohon perlindungan Allah agar dijauhkan daripada sifat riak dan ujub ketika berdakwah kerana kita berdakwah bukanlah untuk mengejar populariti, namun kita ingin mengejar reda Allah dan juga cinta-Nya.

Akhir kata, setiap umat Muhammad ialah pendakwah.
Maka, berusahalah memperbaik akhlak dan jati diri kita, agar kita mampu menjadi muslim yang mengamalkan ajaran Islam dengan sebaiknya.