Friday, 19 December 2014

Pencemaran Cahaya

Assalamualaikum and hello.
Lama tak menulis karangan. 
Bila ada projek dekat universiti ni, terasa berjam menulis.
Terfikir macam mana dekat sekolah dulu boleh cepat siapkan karangan.
Without internet references.
Enjoy.

   Baru-baru ini, pada malam 13 Disember dan 14 Disember 2014 di Malaysia, orang ramai berpeluang untuk menyaksikan salah satu fenomena alam iaitu pancuran Meteor Geminids di langit. Antara saranan yang dikeluarkan oleh Agensi Angkasa Negara (Angkasa) kepada orang ramai termasuklah agar memilih kawasan yang kurang gangguan pencemaran cahaya untuk melihat dengan jelas. Jika kita bandingkan situasi tersebut dengan suasana persekitaran pada beberapa dekad yang lalu, adakah penduduk Bumi perlu bersusah payah untuk keluar mencari lokasi strategik untuk melihat pancuran meteor? Sudah tentu tidak. Dr. Jason Pun, seorang ahli astronomi daripada Jabatan Fizik di Universiti Hong Kong pernah berkata, “Apabila saya berjalan-jalan di sekitar pusat komersial Hong Kong, suasananya sungguh terang dengan cahaya sehingga kamu merasakan seolah-olah ingin memakai cermin mata gelap.” Nyata sekali bahawa situasi di mana penduduk sukar untuk melihat pemandangan langit yang berbintang pada waktu malam telah menjadi kebiasaan pada abad ini.

    Pencemaran cahaya boleh didefinisikan sebagai penggunaan iluminasi (pencahayaan) daripada lampu atau cahaya artifisial yang melebihi keperluan. Menurut pakar, sebahagian besar daripada masalah ini berpunca daripada lampu-lampu serta pencahayaan pada waktu malam yang tidak perlu. Antaranya ialah lampu jalan, lampu di stadium dan padang sukan serta papan iklan. Pada setiap malam, jutaan sumber cahaya di seluruh dunia akan memancarkan tenaga hingga ke langit di mana molekul udara, habuk-habuk terapung  serta juga titisan air akan memantul balik cahaya itu ke Bumi. Fenomena ini diberikan nama Urban Sky Glow kerana langit malam kelihatan berkilauan oleh cahaya. Pencerobohan cahaya (light trespass) juga merupakan antara bentuk pencemaran cahaya lain yang berlaku terutamanya di kawasan kejiranan.

      Pencemaran cahaya berupaya memberikan impak negatif terhadap tiga kategori utama iaitu terhadap kesihatan manusia, kehidupan haiwan dan kepada alam sekitar. Menurut Steven Lockley, seorang saintis neuro di Harvard Medical School, terdapat beberapa perubahan terhadap fisiologi manusia yang berpunca daripada pendedahan berlebihan kepada cahaya pada waktu malam. Beliau merujuk kesan cahaya itu terhadap beberapa aspek fisiologi manusia termasuklah aspek kepekaan, kualiti tidur, dan tahap melatonin dalam badan. Apabila kita terdedah kepada cahaya selepas waktu maghrib, “Waktu siang fisiologi menjadi aktif menyebabkan otak lebih peka, kadar degupan jantung meningkat, suhu badan meningkat, dan turut mengganggu penghasilan hormon melatonin,” Lockley berkata. Hal ini terbukti benar kerana kebanyakan penduduk yang tinggal di bandar lebih terdorong untuk tidur lewat pada setiap hari. Fisiologi badan mereka bertindak balas terhadap pencahayaan buatan untuk terus berjaga walaupun waktu siang telah berganti dengan waktu malam. Satu kajian lain menunjukkan bahawa golongan wanita yang bekerja syif malam mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap penyakit barah payudara kerana perubahan ritma circadian iaitu perubahan fizikal, mental dan emosi dalam kitaran 24 jam sehari telah terjejas kesan pendedahan berlebihan terhadap cahaya.

   Selain itu, pencemaran cahaya turut memberikan kesan terhadap corak biologikal haiwan yang kebanyakannya hidup bergantung kepada ritma waktu siang dan malam. Pendedahan cahaya berlebihan mampu menganggu migrasi haiwan, waktu berburu, waktu membiak dan kitaran waktu tidur. Kebiasaannya, pencemaran cahaya memberikan impak besar terhadap dua haiwan utama iaitu burung penghijrah dan penyu laut. Akibat pendedahan cahaya yang terlalu terang, ratusan burung penghijrah yang bergantung kepada buruj di angkasa untuk menentukan arah perjalanan selalu menghadapi risiko kegagalan mekanisme dalaman untuk menentukan arah migrasi, menyebabkan mereka sama ada berlanggar sesama sendiri ataupun melanggar bangunan yang berlampu. Kes yang sama juga berlaku terhadap spesies burung yang bergantung kepada waktu matahari terbit dan terbenam di mana kekeliruan daripada pencahayaan buatan menyebabkan burung bermigrasi atau membiak lebih awal daripada waktu sebenar.

   Akhir sekali, pencemaran cahaya memberikan implikasi buruk terhadap alam sekitar. Penghasilan pencahayaan buatan melibatkan penggunaan tenaga yang cukup banyak. Statistik tahunan dunia pada tahun 2005 menunjukkan bahawa sebanyak 24.9% pembebasan gas bagi rumah hijau melibatkan elektrik dan haba. Ini menunjukkan bahawa hampir suku penggunaan elektrik bertujuan untuk menghasilkan cahaya. Di Austria, pencahayaan buatan merupakan sumber utama pembebasan gas rumah hijau, melibatkan antara 30-50%. Dalam usaha untuk menjana elektrik, hsmpir 2 juta lampu yang menggunakan 1035 Gigawatt jam penggunaan elektrik, menghasilkan jutaan tan gas karbon dioksida. Bayangkan betapa bahaya kesan gas karbon dioksida yang berlebihan terhadap alam sekitar yang mampu menyumbang kepada pemanasan global.

   Sungguhpun begitu, pencemaran cahaya merupakan antara jenis pencemaran yang paling mudah untuk diatasi, namun perlu melibatkan kerjasama pelbagai pihak terutamanya kerajaan dan masyarakat. Antara langkah yang boleh diambil oleh individu ketika di rumah ialah meminumkan penggunaan elektrik semaksimum mungkin seperti menutup lampu jika tidak perlu, menggunakan mentol lampu yang berwatt rendah dan turut memasang langsir tebal agar cahaya tidak menerobos keluar dan mengganggu kejiranan. Bagi pihak kerajaan pula, penguatkuasaan undang-undang amat perlu kerana kebanyakan lampu yang menyumbang kepada pencemaran cahaya melibatkan bangunan-bangunan pencakar langit. Kerajaan perlu menetapkan waktu tertentu untuk firma-firma menutup lampu utama, hanya membiarkan sedikit lampu sahaja terbuka bagi menerangi jalan. Lampu jalan LED yang bercirikan reka bentuk mengurangkan pencemaran cahaya harus diperluaskan penggunaan terutamanya di bandar-bandar besar. 

  Sebagai kesimpulan,  pencemaran cahaya perlulah diatasi agar penduduk Bumi terutamanya generasi muda berpeluang untuk menikmati keindahan pemandangan bintang-bintang di langit pada waktu malam. Jika “Twinkle Twinkle Little Star” menjadi nyanyian popular kanak-kanak untuk menghargai bintang dalam bahasa Inggeris, mungkin ramai yang ingat versi Bahasa Melayu yang menceritakan keindahan malam dalam lagu “Malam Bulan Dipagar Bintang” oleh Tan Sri P. Ramlee.

Rujukan

Bernama, 2014. Orang Ramai Berpeluang Saksikan Pancuran Meteor Geminids Hujung Minggu Ini. Portal Rasmi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia.
          
Ellie Violet Bramley, 2014. Urban light pollution: why we’re all living with permanent ‘mini jetlag’. The Guardian. 

The Strange Scourge of Light Pollution. 2014. Video. SciShow.


No comments :

Post a Comment